Monday, September 14, 2009 1 comments

Jangan Tinggal Solat!

Bismillahhirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah SWT, selayaknya hanya kepada-Nya kita panjatkan dan pertolongan kita pohonkan. Kita berlindung diri dan keburukan amal perbuatan kita. Saya bersaksi bahawa Muhammad adalah rasul-Nya. Selawat dan salam keatas junjungan besar Muhammad S.A.W, ahli keluarga, para sahabat dan pengikut baginda.

Apabila memperkatakan tentang kewajipan solat, ia merupakan satu ibadat yang tidak sama dengan ibadat lain kerana manusia tiada masa untuk dibenar meninggalkannya. Wajib seorang islam menunaikan lima waktu setelah cukup syaratnya tanpa dalih. Orang yg uzur daripada segi syari’e sekalipun diberikan kelonggaran haram sama sekali meninggalkan solat. Tidak berupaya melakukannya secara berdiri, kita dibenarkan duduk atau berbaring. Hatta orang yg sakit tenat sekalipun masih wajib tetapi diberi kelonggaran menunaikannya secara isyarat dalam keadaan tidur dengan menggerakkan mata ataupun kening.

‘Telah dijadikan kepadaku kecintaan pada wanita dan wangi-wangian serta dijadikan penyejuk mataku ada pada solat’ (H.R an-Nasai’e dan Ahmad)

Rasulullah SAW sendiri pernah mengatakan bahawa solat adalah merupakan suatu ibadah yang paling didambakan. Lebih daripada itu, solat adalah ibadah yang baginda wasiatkan kepada umat di akhir hayatnya. Namun teramat sedih jika hari ini ada di kalangan umat islam begitu senang meninggalkan solat. Tidak keterlaluan untuk menyatakan yang kita sebenarnya tidak sukar menjumpai orang yang namanya Islam dan mengaku dirinya Islam tetapi ‘meruntuhkan’ tiang agama. Rasa terkilan pada hati saya kerana hakikatnya ramai kenalan-kenalan saya masih tidak menegakkan solat lima waktu. Dan tidak dapat saya sangkal semakin hari semakin ramai dengan sengaja meninggalkannya. Ada yang berpuasa tetapi tidak solat lima waktu malahan lebih teruk daripada itu telahpun saya jumpa.

Selagi kita dipanggil hamba lebih tepat hamba kpd Allah SWT maka selama itulah kita wajib menunaikan solat. Maka apabila bergelar seorang islam dia berikrar tunduk dan patuh dengan segala perintah Allah SWT. Solat adalah tiang agama kerana solatlah yang bertindak sebagai paksinya atau tunjangnya melambangkan kepentingannya dalam agama. Ia sesuatu bersifat keakhiratan berupa ganjaran pahala. Ia sesuatu yang boleh diibaratkan ‘perjalanan terindah’ bagi sesiapa yang benar-benar menghayati kerana ia bagaikan satu ‘hiburan’ penghilang kekusutan dan penenang yang sukar digambarkan. Ia adalah ‘ubat’ bagi hati yang lalai dan sebagai penghapus dosa dan pengangkat darjat seorang hamba.

Hatta ianya sesuatu yang melampaui faedah-faedah keduniaan. Hal ini kerana solat adalah suatu anugerah dari Allah yang Maha Mencipta dan Maha Bijaksana kepada seorang mukmin. Ia tidaklah sekadar mainan dan tidak harus sama sekali diabaikan. Solat merupakan puncak kepada hiburan bagi seorang mukmin merangkumi keduniaan dan keakhiratan. Hakikatnya ia adalah sebagai penenang hati yang asli dan azali dari Allah S.W.T kerana itu ia tidak bersifat penenang atau hiburan kepada hati bersifat sementara dan memuas nafsu semata. Ia adalah seperti talian komunikasi antara langit dan bumi atau lebih tepat antara seorang hamba kepada Tuhannya sekaligus ia adalah sesuatu yang melambangkan penegasan bukan sekadar tunduk dan bangun.

Penenang hati seorang mukmin adalah pada solat yang dipenuhi keberkatan dan didalamnya terkandung 1001 rahsia dan keajaiban. Hati manusia yang senantiasa gundah maka ubatnya adalah solat yang ditentukan waktunya. Seorang yang Islam akan diberi peringatan sebanyak lima kali sehari semalam. Sesungguhnya ada hikmah dan sebagai tanda kebesaran Allah SWT jika diperhati pada lima waktu tersebut. Tiada satu pun sia-sia dalam syariat Allah SWT. Jika diteliti setiap pergerakan dalam solat ada terkandung 1001 rahsia dan manfaat kepada kesihatan yang sudahpun terbukti secara saintifik setelah pelbagai kajian yang telah dibuat. Dalam tidak sedar pada keadaan qiam atau berdiri tegak kita secara fizikalnya berbentuk sebatang huruf alif. Pada rukun seterusnya kita akan rukuk dan secara fizikalnya membentuk huruf lam. Dan pada pergerakan seterusnya iaitu sujud secara fizikalnya tubuh badan kita akan membentuk huruf ha. Maka dalam setiap rakaat solat, 17 kali sehari kita secara fizikalnya ‘melafazkan’ kalimah paling agung iaitu Allah, Tuhan semesta alam.

Abu Hurairah R.A meriwayatkan, ‘aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, ‘bayangkan di hadapan pintu rumah salah seorang dari kamu semua ada sebatang sungai. Kemudian dia mandi di sungai itu lima kali sehari. Adakah kotoran masih terlekat pada badannya?’ Para sahabat menjawab, ‘tidak ada lagi kotoran yang terlekat pada badannya.’ Baginda bersabda lagi, ‘begitulah perumpamaan solat lima waktu. Apabila ia dilakukan dengan sempurna, Allah akan menghapuskan segala kesalahannya.’ (H.R Bukhari dan Muslim)

Ada sebuah hadis Rasulullah S.A.W yang sangat indah yang berbunyi:

‘di antara banyak perkara yang dimaklumi kamu itu ada 3 perkara yang aku sukai atau jatuh hati, iaitu; wajah yang cantik, air yang berlari-lari dan suasana pokok yang hijau. Walau bagaimanapun, hatiku ini lebih tenang lagi ketika dalam solat.’

Dengan itu, maka sahlah sekali solat merupakan makam tertinggi atau puncak kebahagiaan hati bagi yang Islam. Mari kita membuka minda dan sama-sama bermuhasabah setakat mana tahap kita sekarang ini. Satu persoalan besar perlu diajukan kepada diri kita sendiri, adakah solat kita dapat mencegah diri dari melakukan kemungkaran? Apakah kita masih pada tampuk lama dan berterusan bergelumang melakukan maksiat meskipun solat siang malam?. Walhal solat yg sempurna itu boleh menjadi banteng dan dapat mencegah seseorang daripada melakukan kemungkaran. Solat yg sempurna itu adalah dengan mengambil ataupun meniru tunduk bangun perbuatan Rasulullah S.A.W secara bulat-bulat. Firman Allah S.W.T;

‘Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.’ (Surah al-Ankabut:45)

Pengabaian adalah satu perbuatan yang sangat keji dan Allah S.W.T memandang hina mereka yang sanggup meninggalkan solat. Saya ingin berkongsi sebuah cerita. Ada sebuah kisah pada zaman Nabi Musa A.S mengenai penghinaan Allah S.W.T kepada mereka yang meninggalkan solat. Ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga, namun dia tidak dikurniakan zuriat. Terdetik di hatinya, sekiranya dia mendapat seorang anak, dia akan minum air kencing anjing hitam.

Dengan kuasa Allah S.W.T, isteri kepada lelaki tersebut tadi hamil. Apabila cukup tempohnya, dia selamat melahirkan seorang anak. Selepas mendapat anak yang diidamkan, si lelaki tadi berasa runsing kerana teringatkan nazar yang sudah dibuatnya, iaitu meminum air kencing anjing hitam. Syariat pada zaman Nabi Musa A.S berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Muhammad S.A.W. Kalau umat zaman Nabi Muhammad S.A.W, sekiranya kita bernazar dengan sesuatu yang haram maka kita tidak perlu melaksanakannya. Sebaliknya kita perlu menggantikannya dengan denda atau kifarah. Berbeza dengan syariat pada zaman Nabi Musa A.S, sesiapa yang bernazar, walaupun ianya suatu yg haram, nazar itu tetap perlu dilaksanakan.

Si lelaki yang sudah mendapat anak itu, dengan rasa susah hati pergi menemui Nabi Musa A.S. Dia menceritakan kepada baginda tentang apa yang sudah terjadi kepada dirinya. Nabi Musa menyatakan bahawa dia tidak perlu meminum air kencing hitam, sebaliknya menggantikannya dengan air yang lebih hina daripada itu. Baginda memerintahkan lelaki itu supaya menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air itu. Lalu lelaki itu dengan senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan Nabi Musa kepadanya.

Lihatlah betapa hinanya darjat orang yang meninggalkan solat sehinggakan air yang menitis dari bumbung rumahnya lebih hina dari air kencing anjing hitam. Darjat pada pandangan manusia mungkin seorang itu dipandang hebat penuh hormat tetapi dia dihina sebegitu rupa oleh Allah S.W.T sekiranya meninggalkan solat. Jika hendak difikirkan itu baru air yg menitis dari bumbung rumah apakah pula keadaannya air yang menitis dari tangannya atau ‘air tangan’ seorang yang meninggalkan solat. Maka ianya tentulah lebih teruk daripada itu. Dengan itu kaum ibu seharusnya benar-benar menjaga dan menitikberatkan solat mudah-mudahan solat yang sempurna dapat mengalir keberkatannya dalam keluarga, baik kepada suami dan anak-anak.

Sekian saja tulisan saya, semua yang baik dan sempurna adalah datangnya dari Allah Taala dan segala yang buruk dan tidak sempurna itu datang dari kelemahan diri saya sendiri. Maafkan saya jika terkasar bahasa.

Wallahu taala ‘alam

 
;