Friday, February 26, 2010

HARGA SEBUAH KEAMPUNAN DAN KEMAAFAN...

Pepatah Melayu menyatakan, bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Perumpamaan yang menyatakan persoalan, pasti semua orang ada jawapannya. Begitulah juga kehidupan manusia, pasti tidak dapat lari dari terpalit dan dipalit dosa, yang membezakan hanyalah besar atau kecilnya sahaja..walau hakikatnya dosa tetap dosa..

Abul-Laits Assamarqandi berkata, dosa ada dua jenis iaitu antara kamu terhadap Allah dan dosa kamu sesama manusia. Dosa antara kamu dengan Allah insyaAllah akan terlepas dengan tiga syarat taubat, iaitu menyesal dalam hati; niat tidak mengulangi kesalahan dan membaca istighfar dengan lidah. Tanda taubat diterima Allah, kata orang hikmah, ada empat tandanya iaitu:
1. Putus hubungan dengan kawan yang tidak baik (jahat) dan bersahabat dengan orang salih;
2. Menghentikan maksiat sebaliknya rajin melakukan perintah Allah;
3. Hilang rasa kesenangan dunia di hatinya, lalu selalu ingat kesusahan di akhirat;
4. Percaya jaminan Allah dalam soal rezeki, lalu sibuk mengerjakan perintah Allah.

Namun jika kita berdosa sesama manusia, selagi mereka tidak memaafkan atau menghalalkannya, maka tidak berguna taubat bagi kita. Seringkali kita mendengar ucapan maaf cukuplah dengan kalimah “Maafkan saya” yang sering diucapkan di kala lebaran menjelma. Ucapan ‘Maaf Zahir Batin’ yang sering diucapkan seolah-olah sudah cukup untuk menghapuskan segala dosa, sedang hakikatnya permohonan kemaafan perlu dijelaskan sebab musababnya. Begitulah hakikatnya dalam Islam. Kedua-dua pihak iaitu yang memohon kemaafan dan yang dipohon kemaafannya perlu dijelaskan hakikat sebenarnya sebuah kesilapan dan kekhilafan..agar nantinya akan timbul kerendahan dan keikhlasan hati dalam memohon kemaafan dan memberikan keampunan.

Ibnu Masud berkata:- "Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosanya seperti sebuah bukit yang dibimbangi akan menimpanya. Manakala, seorang yang selalu melakukan dosa akan memandang dosa itu seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya". Pandanglah dosa sesama manusia sebesar bukit yang akan menimpa, maka nantinya kita tidak akan memandang remeh pada dosa sesama manusia dan menyanjung tinggi harga kemaafan dari manusia, yang tanpanya mungkin kita jauh dari redha Yang Esa.

Suatu hari Anas bin Malik r.a serta ramai para sahabat yang lain duduk di sisi Rasulullah, tiba-tiba mereka melihat Rasulullah tersenyum.Anas merasa hairan apabila Rasulullah s.a.w tiba-tiba tersenyum gembira sehingga kelihatan gigi, lalu Anas bertanya : "Apakah yang menyebabkan Rasulullah tersenyum gembira?" "Yang menyebabkan aku tersenyum kerana ada dua orang di kalangan umatku di akhirat,keduanya merangkak di hadapan Allah SWT kerana minta diselesaikan kes yang melibatkan antara keduanya. Seorang darinya merayu kepada Allah SWT: Wahai Tuhan, tolong balaslah terhadap orang ini,sesungguhnya dia sangat zalim dan telah menzalimi aku semasa di dunia dahulu,dengan berbagai perbuatan zalim.

Lalu Allah SWT memerintahkan orang yang zalim itu membayar gantirugi,sebagai jalan penyelesaian untuk kes mereka berdua.Tetapi orang yang zalim itu tidak dapat berbuat demikian,kerana tiada suatu pun yang boleh untuk membayar kepada orang yang menuntut itu. Orang yang berbuat zalim itu berkata: Dengan apakah aku hendak membayarnya,sedangkan tiada suatu pun kebaikan yang tinggal padaku,kesemuanya telah habis dituntut oleh orang lain.

Ketika itu orang yang kena zalim itu minta agar orang yang zalim itu mengambil kejahatan dan dosa yang ada pada dirinya. Pada ketika itu Rasulullah menitiskan air mata. Ketika ditanya, Rasulullah menjelaskan yang lelaki yang melakukan kezaliman itu ingin membayar tuntutan tersebut, tetapi tidak terdaya kerana sudah tidak ada apa-apa yang tinggal untuk dirinya. Lalu Rasulullah pun bersabda : "Sesungguhnya itulah suatu hari yang sangat dahsyat,sehingga sampai ke suatu peringkat manusia mencari orang lain untuk memikul dosanya."

Ketika seorang dari dua orang yang berbalah di Mahsyar menuntut agar dosa mereka dipikul oleh orang yang menzaliminya,maka ketika itu Allah SWT memperlihatkan sebuah mahligai tersergam indah di dalam jannah. "Tidakkah kamu melihat mahligai itu?" Ujar Tuhan kepada manusia yang sedang menuntut keadilan dari Tuhan terhadap taulannya." Ya..saya nampak sebuah mahligai yang diperbuat dari emas dalam sebuah taman dari perak,untuk siapakah itu wahai Tuhan? Mungkinkah untuk nabi-nabi atau syuhada atau mungkin juga untuk golongan siddiqin?" ujar orang itu.

"Mahligai itu untuk siapa saja asalkan mereka sanggup membayar harganya."Jelas Tuhan. "Jika demikian adalah mustahil saya dapat memilikinya kerana saya tidak punya apa-apa di sini untuk membayar harga mahligai emas itu."ujar manusia itu. " Justeru kamu masih berpeluang memilikinya,kerana kamu masih memiliki barang bernilai yang dapat membayar harga mahligai itu." "Bagaimana caranya?" tanya orang itu kepada Tuhan penuh kehairanan. "Iaitu sekiranya kamu sedia memafkan rakan kamu dan tidak menuntutnya agar dia memikul dosamu."Tuhan menjelaskannya. Dengan melompat kegembiraan orang itu berkata: "Wahai Tuhanku, kalau begitu aku segera memaafkan dia,terhadap apa-apa jua kezaliman yang telah dilakukan terhadap saya."ujar manusia itu dengan perasaan penuh gembira yang tidak terhingga.

Lalu Allah SWT memerintahkan malaikat agar membawa orang itu ke dalam mahligai yang terbina di sebuah jannah yang terbina dari perak, kemudian Tuhan mengizinkan orang itu membawa bersama taulannya memasuki syurga itu.
-------------------------------------------------------------------------------------
Demikianlah sebuah kisah yang diceritakan oleh Rasulullah SAW kepada Anas bin Malik suatu peristiwa di akhirat melibatkan dua orang umatnya yang berusaha untuk menyelamatkan diri di hari tiada pertolongan kecuali pertolongan Allah SWT.Suatu kemaafan dapat menyelamatkan dirinya juga rakannya dari sengsara Mahsyar.

Sahabat-sahabat dan saudaraku..begitu mahal nilai sebuah pengampunan..Sebelum bertemu di mahkamah pengadilan Tuhan, sama-samalah kita menghitung kesalahan diri sesama insan. Jika ada yang belum diselesaikan, berusahalah memohon kemaafan walau berkali ucapan maaf perlu diucapkan. Moga dengannya kita akan mendapat keredhaan Tuhan..dan moga nantinya hidup di dunia dikurnia keberkatan..dan hidup di akhirat dianugerah kebahagiaan dan kesenangan..

Buat semua yang mengenaliku..andai ada kesalahan diriku yang masih belum tertuntut pengadilan dan kemaafan darimu..kupohon tuntutan darimu ke atas diriku, sebelum kita bertemu di mahkamah Tuhan Yang Satu..yang pada saat dan ketika itu tidak ku tahu sama ada termampu bagiku menunaikan hakmu..atau terjamin bagiku kemaafan dan keampunan darimu..Moga Allah mudahkan bagimu dan bagiku..Andai ada kesilapanmu padaku..semuanya telah tersedia ku maafkan dan halalkan bagimu..Moga Redha Allah akan menjadi milikmu dan milikku..ameen..

No comments:

Post a Comment

 
;