Friday, February 26, 2010

Dunia untuk akhiratmu...

Imam Syafi’i rah.a pernah menasihati salah seorang saudara seagama… “Dunia merupakan lumpur sehingga kaki-kaki mudah tergelincir.’ Dunia hanyalah satu rumah kehinaan,yang puncak kemajuannya adalah kebinasaan…sebagaimana hebatnya tamadun-tamadun dunia, yang semuanya menemui kebinasaan...Dalam kehidupan di dunia, kita dikelilingi handai dan taulan..namun perjalanan akhir ke alam kubur yang dijanjikan Tuhan,,manusia perlu melakukannya sendirian..Itulah hakikat sebuah kehidupan..dan erti sebuah kematian..Tiada teman..tiada lagi saudara..tiada senda..tiada lagi ketawa..

Maka kerana itu, pesan Imam Syafi’i ‘Tumpukanlah hatimu selalu kepada Allah dan berpuas hatilah dengan rezeki yang diberikan-Nya. Jangan meminjam apa-apa dari simpananmu di akhirat demi dunia. Sebab kehidupan di dunia ibarat satu bayang-bayang yang tidak lama lagi akan lenyap. Dan kehidupan dunia itu ibarat satu dinding yang sudah goyah yang tidak lama lagi akan runtuh. Perbanyaklah amal soleh dan kurangkan angan-angan.”

Jika ingin tahu hakikat kehidupan..tanyalah kepada mereka yang hampir menemui sebuah kematian..itu pesan para ilmuwan.. Di suatu ketika, Muawiyah r.a. didatangi oleh seorang wara’ dari kota Najran yang berusia 200 tahun. Ketika Muawiyah bertanya kepadanya mengenai keadaan dunia mengikut pengalamannya, beliau menjawab, “Beberapa tahun kesenangan setelah itu beberapa tahun kesusahan. Setiap siang dan malam ada yang lahir dan ada yang mati. Sekiranya tidak ada kelahiran maka dunia akan berakhir. Jika tidak ada kematian maka tidak cukup lagi ruang untuk duduk di dunia ini.” Muawiyah r.a. berkata, “Adakah sesuatu yang engkau kehendaki dari saya? Orang wara’ itu berkata, “Kembalikanlah umur saya yang sudah berlalu.” Muawiyah berkata, “Untuk itu saya tidak mampu untuk melakukannya.” Orang wara’ itu berkata, “Kalau begitu saya tidak mempunyai permintaan apa-apa dari anda.”

Hakikatnya kehidupan dunia tiada yang bermakna jika tidak diisi dengan amal dan takwa.. Yang berharga dari kehidupan dunia ialah ruang waktu yang dengannya dapat kita mengumpulkan bekalan untuk alam yang tiada pengakhiran..‘Apa yang kamu sukai di dunia’, pesan Ibrahim bin Adham, ‘hanyalah seolah-olah kamu menyukai sesuatu dalam mimpi saja’…sebagaimana harta, pangkat dan kelebihan yang dikurniakan Allah kepada manusia yang bukannya milik kita selamanya..dan sekelip mata dapat dikembalikan kepada Tuhan yang menganugerahkannya..

Wadah iman adalah sekeping hati yang dengannya Allah bezakan darjat dan kedudukan seorang hamba..Sesungguhnya Allah bukan melihat pada paras rupa mahupun darjat dan keturunan..tetapi pada sekeping hati yang dengannya mencorak keimanan, keyakinan dan kelakuan..Dengan hati dan akal manusia membuat pilihan yang nantinya akan menentukan kehidupan di hari pembalasan..

Pesan Malik bin Dinar…“Sebanyak mana kamu memikirkan dunia, sebanyak itulah fikiran tentang akhirat akan keluar dari hatimu. Dan sebanyak mana kamu memikirkan akhirat, sebanyak itulah fikiran tentang dunia akan berkurangan.” Hakikatnya..dunia dan akhirat tidak akan mampu bersatu dalam sekeping hati seorang manusia kerana kedua-duanya mempunyai sifat yang berbeza.. Hati yang dimiliki akhirat, pesan Abu Sulaiman Darani r.a., akan sentiasa diserang diserang oleh dunia yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan ruang di hati manusia…namun hati yang diduduki oleh dunia tidak akan diserang oleh akhirat yang mulia sifatnya..Kerana hinanya dunia, seringkali kedudukan akhirat di hati manusia cuba dirampasnya..namun kerana mulianya akhirat..pastinya ia akan mengundurkan dirinya tatkala kedudukannya digugat dunia yang hina..

Manusia dikurniakan akal..yang dengannya mampu kita membuat pilihan..Yang dikira manusia berakal di sisi Tuhan bukanlah manusia yang mempunyai ijazah dan kelayakan yang di sanjung manusia..tetapi manusia yang mengerti akan hakikat kehidupan dan kematian. Yahya bin Muadz rah.a. berkata… “Tiga jenis manusia yang cerdik adalah, (1) Yang meninggalkan dunia sebelum dunia meninggalkannya, (2) Yang membuat persiapan untuk memasuki kubur sebelum tiba masanya memasuki kubur, (3) Yang menghasilkan keredhaan Allah sebelum berjumpa dengan-Nya.

Moga kita dapat menjadi insan yang diiktiraf itu..yang membuat persiapan sebelum perjalanan yang tiada titik pengakhiran waktu..yang memikirkan kesudahan sebelum tiba garis penamatan yang pasti akan berlaku...yang mencari sebuah cinta dan keredhaan Tuhan Yang Satu..yang cinta dan redhaNya tiada batas ruang dan waktu..Ameen Ya Rabbal ‘Alamin..

No comments:

Post a Comment

 
;