Friday, February 26, 2010

Bukan cinta biasa…

Teringat mendayu lontaran suara seorang perindu…meluah cinta pada yang merasa…"Cintanya bukan di atas kertas" katanya…"Ia getaran yang sama"…Terpukau mata dan terpikat hati mereka yang mendengarnya..pada keindahan rupa, suara dan bait kata..Memang ia bukan cinta biasa kata mereka…

Bandingkan pula dengan ayat-ayat cinta…lontaran rasa Rabiatul ‘Adawiyyah pada Penciptanya…

“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”

Kasih dan cinta bagi sang hamba… tiada zahir dan tiada rupa, tiada gambaran dan tiada suara…Tidak mampu tertulis pada warkah untuk dibaca atau didendangkan bagi halwa telinga mereka yang mendengarnya….Ia getaran rasa seorang hamba pada Yang Mencipta..Rasa dan getarnya hanya yang merasa mampu mengetahuinya..dan hanya Yang Dicinta mampu memahaminya…Itulah cinta yang luar biasanya cinta..itulah cinta yang bukan cinta biasa…

Yang biasa pada yang bercinta…bila bercinta ingin bersatu selamanya…Yang luar biasa pada cinta..bila cinta tidakkan bersama dalam zahirnya..tapi batinnya bersatu selamanya…Luar biasa sifatnya cinta..bila yang dicinta bukan kerana rupa, harta mahupun keturunannya…Bukan biasa sifatnya cinta…jika cinta bukan kerana selainnya Dia..Mencintainya kerana Dia adalah Dia…dan mencintainya kerana itulah sebenarnya cinta…

Lontaran rasa sang pencinta pada Yang Dicinta…saat manusia diulit mimpi di dua pertiga malamnya…Airmata basah mencucuri pipinya.. Kering titisan pada sejadahnya…Tulus suara mengucapkan cinta..Luhur hati memohon ampun dariNya..Hanya Dia yang Maha Melihatnya…dan hanya Dia yang Maha Mendengarnya…

Cinta itu bukan cinta biasa…tetapi itulah sebenarnya cinta..Cinta yang tiada nilai harganya..Tidak berkurangnya dengan dugaanNya..Tidak bertambah dengan nikmatNya.. Segala anugerah sama sahaja baginya…Asalkan ia pemberian Yang Esa…Sememangnya ia sebenarnya cinta…ia bukan cinta yang biasa…

Tuhanku..kurniakan aku cinta..jika ia mampu memberikanku sayap hingga ke syurga…
Tuhan…leraikan aku dari getar rasa dan cinta…jika ia menjauhkan aku dariMu Tuhan yang Maha Mencipta..
Tuhan..anugerahkan aku cintaMu…dan cinta mereka yang mencintaiMu…jika di situlah letaknya redhaMu…dan jika disitulah kunci cintaMu..wahai Tuhanku pemilik hatiku Yang Satu…
Tuhan..kurniakan padaku cinta yang cintanya bukan cinta biasa…dan limpahkan bagiku cinta…sebagaimana luar biasanya cinta mereka yang mencintaiMu…
Izinkan aku siang malam bermadu kasih denganMu…Dengan lafaz, ikrar dan gerak anggota berpadu..
Moga dalam hatiku cintaMu dan cintaku menjadi satu..hingga tiba hujungnya waktu… dipertemukan aku denganMu yang kurindu…
Di penghujung rindu..moga cinta ini akan bersatu….Ameen ya Rabbal ‘Alamin..

No comments:

Post a Comment

 
;