Friday, February 26, 2010

PERGANTUNGAN KEPADA ALLAH...

Amal boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu amalan zahir yang dinamakan usaha dan ikhtiar, dan amalan hati. Kesan amalan zahir kepada hati berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Hati yang bebas daripada bersandar kepada amal, sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati yang mengharap kepada Allah s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa membawa sebarang amal, zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t tanpa sebarang takwil atau tuntutan. Hati yang demikian tidak menjadikan amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai alat untuk tawar menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu sama ada di dunia mahupun di akhirat..

Manusia yang kuat bersandar kepada amalan zahir adalah mereka yang mencari faedah keduniaan dengan mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di dunia…hingga mereka terlupa bahawa segala ilmu, daya dan usaha, yang manusia yakini berpunca dari kudrat dan iradatnya, semata adalah kurniaan Yang Esa..yang tanpa bantuanNya kita tidak akan mampu membuat apa-apa, sebagaimana pemahaman kalimah 'La Hawla Wala Quwwata illa Billah' yang bermaksud 'Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah'.Hatta usaha, walau sekecil mana, segalanya adalah dengan izin Allah semata, sebagaimana firmannya:“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 : Surah as- Saaffaat )

Manusia yang kuat bersandar kepada amalan batin pula adalah mereka yang mencari faedah akhirat, dengan mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat. Mereka memandang amal salih sebagai tiket untuk memasuki syurga dan juga bagi menjauhkan azab api neraka…sedangkan mereka terlupa bahawa tiket utama untuk ke syurga adalah keredhaan Allah Taala, dan bukan hanya amalan yang dilakukan bagi mendapatkan kemuliaan, sama ada di dunia mahupun di akhirat. Dalam kesibukan mengumpulkan amalan, timbul keyakinan bahawa dengan amalan, mereka akan memperolehi keselamatan, hingga terlupa bahawa amalan tersebut adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya, yang tanpa taufik dan hidayat dari Allah s.w.t, belum tentu amal kebaikan dapat dilakukannya, sebagaimana firman Allah s.w.t:
“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah an-Naml )

Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )

Mereka yang kuat persandaran kepada selain daripada Allah akan lemah dalam menghadapi dugaan dan ujian kerana mereka mereka meyakini bahawa segala-segalanya akan berjalan menurut apa yang dirancangkan dan berpandukan ilmu dan usaha yang dicurahkan. Apabila yang diusahakan gagal mendatangkan hasil, hilanglah tempat persandaran mereka dan jadilah mereka orang yang berputus asa, yang gagal melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t mengatur perjalanan takdir dan jauh daripada mendapat rahmat dari-Nya. Na’uzubillah..

Pergantungan kepada Allah s.w.t akan menghalang hati daripada berputus asa kepada Allah dalam menghadapi dugaan hidup...kerana hati meyakini bahawa keberhasilan atau ketidakberhasilan usaha adalah dalam kekuasaan Allah..dan pergantungan kepada Allah pasti tidak akan si-sia kerana Allah lebih mengetahui akan segala sesuatu. .Jika berjaya, mungkin itu yang terbaik buatnyamenurut ilmu Allah, dan begitu jugalah sebaliknya. Hasilnya, lahirlah jiwa yang tenang dan redha dengan apa yang diputuskan Allah, tanpa dukacita dan tanpa kecewa.

Sama-samalah kita gantungkan hati dan pengharapan kepada Allah, dengan meyakini bahawa Allah Maha Mengetahui segalanya..Moga kita dapat jadikan keredhaan Allah sebagai matlamat, dan bukannya alat bagi mendapatkan apa yang dihajat..Moga keyakinan kita kepada Allah adalah benar..Pergantungan kita kepada Allah juga benar..dan moga kita dilindungi Allah dan diberikan petunjuk agar sentiasa berada di landasan yang benar. Amin ya Rabbal ‘Alamin..

No comments:

Post a Comment

 
;