Friday, February 26, 2010

KEPERCAYAAN KEPADA HOROSKOP

Perkataan horoskop yang berasal dari bahasa Yunani yang bermaksud "melihat jam" bermaksud ramalan berdasarkan kedudukan relatif objek langit seperti matahari, bulan dan planet.. Berdasarkan ilmu astrologi, personaliti dan nasib setiap orang dapat diramalkan melalui kedudukan matahari, bulan dan planet pada waktu dan ketika tertentu. Ramalan sebegini membawa kepada syirik dan hukum mempercayainya ialah haram dan berdosa. Telah diriwayatkan oleh Abdullah ibn Abbas ra bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

“Sesiapa yang mengambil sebahagian dari ilmu bintang (nujum) maka sesungguhnya dia telah mengambil sebahagian dari ilmu sihir yang setiap kali bertambah ilmu bintangnya (berkaitan ramalan) maka bertambah pulalah ilmu sihirnya .” (Hadith sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasaie dan Ahmad).
Penyamaan hukum di antara ramalan bintang dengan sihir sudah cukup menggambarkan bahaya kepercayaan kepada ramalan yang boleh membawa kepada kesesatan, sekalipun terdapat kepadanya beberapa berita yang mendekati kebenaran.

Menurut ulasan Yusuf al-Qardawi, solat mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet, walaupun tidak mengadap tukang tilik, tidak akan diterima Allah selama 40 hari berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Sesiapa yang mendatangi bomoh, kemudian bertanya kepadanya sesuatu, solatnya tidak akan diterima selama 40 hari." – Riwayat Muslim.

Sama ada tujuannya untuk bersuka-suka atau membenarkannya, hukumnya tetap HARAM di sisi Islam kerana ia boleh membawa kepada kesyirikan bila mana kuasa menentukan kehidupan disandarkan kepada ‘kuasa’ bulan dan bintang dan bukannya kepada Allah yang Maha Mengetahui. Walaupun begitu, jika ia dibaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, maka hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuannya adalah untuk memberikan pengajaran kepada orang lain.

Dalam kitabnya, Imam Bukhari menjelaskan bahawa penciptaan bintang-bintang adalah sebagai perhiasan kepada langit, rejaman kepada syaitan, dan juga penunjuk arah bagi mereka yang dalam perjalanan. Mempelajari ilmu bintang seperti ilmu falaq, ilmu kaji bumi dan astrologi untuk tujuan kebaikan dan keselamatan manusia adalah tidaklah salah. Allah berfirman, yang maksudnya:
"Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mengetahui." (Al-An am : 97).

Dengan ini, jelaslah bahawa hukum mempelajari atau mempercayai ilmu astrologi untuk tujuan horoskop dan meramal nasib adalah haram hukumnya dan berdosa, walaupun ia cuma untuk bersuka-suka.
Wajarlah kita sebagai seorang muslim mengelakkan diri daripada pergantungan kepada ramalan dan menjauhkan diri daripada perkara khurafat dan tahyul, seperti kepercayaan kepada kedudukan bintang-bintang yang mampu mencorakkan kehidupan. Hakikatnya, bulan dan bintang hanya bergerak mengikut perjalanan yang ditentukan oleh Allah..tiadalah mampu ia menentukan takdirnya sendiri mahupun lari dari paksinya walau seinci.. Sekiranya bulan dan bintang tidak mampu meramal atau menentukan perjalannya sendiri, apakah mungkin ia menentukan perjalanan hidup seorang insan?Fikirlah sendiri wahai insan yang mempunyai akal dan fikiran..

Bebaskanlah diri dari pergantungan kepada yang sia-sia, mahupun tujuannya hanya untuk bersuka-suka. Setiap amalan ada kesannya pada hati yang akhirnya berbekas pada keimanan dan amalan. Persoalan rezeki, jodoh, ajal, maut, susah dan senangnya kehidupan…segalanya sudah ditentukan Allah…Menghubungkan segala apa yang berlaku kepada diri dengan perjalanan bulan dan bintang jelas bertentangan dengan keimanan kepada Allah dan Qadar (takdir) yang menjadi pembeza antara yang beriman dengan mereka yang tidak berkepercayaan. Gantungkanlah pengharapan kepada Allah..dan berusahalah mengubah takdir dengan jalan doa dan usaha yang diredhai Tuhan. Semoga hidup kita mendapat keberkatan. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment

 
;